Mengenai KUIS  
   


 

Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), sebelum ini dikenali sebagai Kolej Islam Selangor Darul Ehsan (KISDAR) ditubuhkan pada 1995 berperanan memartabatkan pendidikan Islam di negeri Selangor sebagai kesinambungan sistem pendidikan agama yang diasaskan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

Memulakan operasi di bangunan sementara di bekas Sekolah Agama Menengah Tengku Ampuan Jemaah (SAMTAJ) Shah Alam, KUIS menawarkan program Diploma Pengajian Islam dengan Pendidikan dan beberapa pengkhususan lain seperti Dakwah, Usuluddin, Syariah dan Al-Quran dan Al-Sunnah.

Dipengerusikan YAB Dato' Seri Dr Mohamad Khir Toyo dalam Lembaga Pengarah KUIS, kerajaan negeri Selangor turut memberikan komitmen dan sokongan padu kepada agenda pembangunan pendidikan KUIS melalui peruntukan sejumlah dana dan sebidang tanah seluas 104 ekar bagi tujuan pembinaan kampus tetap KUIS di Bandar Seri Putra, Bangi.

Keseluruhan operasi KUIS kemudian berpindah ke kampus baru di Bandar Seri Putra pada Jun 2000 dan upacara perasmian kampus induk KUIS telah disempurnakan oleh DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah, Sultan Selangor Darul Ehsan pada 25 Mei 2002.

Setelah kira-kira 10 tahun beroperasi, tarikh 31 Disember 2004 mencatat sejarah apabila KUIS dinaik taraf sebagai kolej universiti oleh Kementerian Pengajian Tinggi dan membolehkannya menawarkan program-progran ijazah dwipengkhususan.

Selaras dengan tuntutan pasaran pekerjaan semasa dan perkembangan ilmu dalam bidang sains dan teknologi, KUIS turut menawarkan bidang-bidang pengajian bertaraf diploma yang menekankan kepada prinsip dan falsafah kesepaduan ilmu. Bidang-bidang pengajian yang ditawarkan meliputi disiplin ilmu-ilmu pengajian Islam di samping ilmu-ilmu moden seperti Perakaunan, Perbankan, IT & Multimedia, Pengurusan Sumber Manusia, Komunikasi, Ekonomi & Kejururawatan.

Berpandukan moto 'Pemangkin Tradisi Ilmu', KUIS akan terus memacu kehadapan membina peradaban ummah yang cemerlang lagi terbilang. Selain itu, KUIS akan tetap teguh mengekalkan misi dan falsafahnya di dalam membangunkan intelektual dan kebolehan kreatif para graduannya.

     
MainPage News NewsArchived AboutKUIS ContactKUIS PressRelease VersiB.Melayu