|
Selamat Datang ke Laman FAMALink
Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) yang dilancarkan Perdana Menteri pada 30
Julai bakal merubah wajah dan mengembangkan sektor pertanian di Perlis, Kedah,
Pulau Pinang dan Perak Utara; diiringi pembangunan berkaitan dalam sektor
pembuatan, logistik dan pelancongan di koridor berkenaan.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini
melahirkan keyakinan bahawa dengan langkah strategik dan kerjasama yang dijalin
dengan Belanda serta negara-negara luar yang lain, sektor pertanian Malaysia
akan berkembang ke tahap yang lebih maju.
Di bawah pelan induk pembangunan NCER, Perlis akan menjalankan program kelompok
buah-buahan mengikut iklim, di samping mempunyai sebuah depoh kontena darat,
pembangunan bandar sempadan serta pusat pengeluaran benih. Sementara itu fidlot
dan projek penyepaduan ternakan lembu akan diwujudkan di Selama, Perak. Dengan
perancangan penuh berwawasan dalam sektor ini, negara bakal menuai hasil
pertanian yang lumayan; cuma kali ini, dengan teknologi baru, logistik yang
dipertingkat dan pemasaran berinovatif, pulangannya pasti lebih signifikan
kepada ekonomi.
NCER, bersekali dengan rancangan-rancangan pembangunan pertanian peringkat
nasional yang lain, akan meningkatkan pendapatan petani di luar bandar dengan
memberikan nafas baru kepada sektor ini, termasuk dari aspek pengedaran dan
pemasaran. Teruskan melayari laman ini untuk membaca liputan berita sekitar
aktiviti FAMA dan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani. Untuk
mendapatkan data dan maklumat industri yang lebih terperinci, perkhidmatan dalam
talian serta sumber-sumber berkaitan, kunjungi laman rasmi FAMA di
www.famaxchange.org
|