|
KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Peserta pasar tani yang didapati membenarkan karavannya diusahakan oleh warga asing akan dikenakan tindakan, kata Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin.
Beliau berkata tindakan seperti penarikan lesen akan dikenakan bertujuan untuk melihat Pasar Tani diusahakan oleh seratus peratus rakyat Malaysia.
"Kita mahu peluang yang kita berikan ini digunakan sebaik mungkin, bukannya bertukar tangan kepada orang lain," katanya pada Majlis Penutup Konvensyen Pasar Tani Kebangsaan 2009, di sini Selasa.
Setakat ini terdapat 16,000 orang usahawan Pasar Tani telah berjaya dengan bantuan FAMA, dan agensi itu ingin meningkatkan bilangan ini kepada 40,000 orang pada masa hadapan.
Sementara itu, Badruddin berkata Konvensyen Pasar Tani membolehkan para petani berkongsi buah fikiran dan pengalaman, di samping memungkinkan usahasama antara para petani ini dengan pihak FAMA.
Menurut beliau konvensyen dua hari ini dapat memajukan industri pertanian negara menerusi perkongsian ilmu dan perbincangan untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah petani.
Kerajaan juga telah mewujudkan skim caruman serta skim insuran untuk para peserta Pasar Tani, katanya.
-- BERNAMA |