|
KUALA LUMPUR, 2 Nov (Bernama) -- Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan berhasrat untuk mengurangkan pergantungan negara terhadap import makanan yang bernilai kira-kira RM28 bilion pada tahun 2008 kepada kira-kira RM14 bilion setahun.
Perdana Menteri berkata langkah itu dapat menjimatkan pengaliran wang keluar negara.
Dalam mencapai matlamat itu, Najib menegaskan perlunya langkah pembentukan ekonomi untuk menghasilkan model berpendapatan tinggi yang boleh meningkatkan pendapatan golongan petani, nelayan dan penternak.
"Cabaran (yang dihadapi) adalah mendekatkan pengeluar hasil tani kepada pasaran supaya mereka boleh dapat pendapatan yang lebih besar," katanya semasa berucap di Majlis perasmian Konvensyen Pasar Tani peringkat Kebangsaan 2009.
Najib juga menyokong rancangan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dalam Rancangan Malaysia Ke-sepuluh (RMK10) untuk membekalkan 5,000 unit motosikal tiga roda kepada usahawan untuk bertindak sebagai pembekal kepada agrobazar kedai rakyat dan pasar tani.
Konsep Pasar Tani, yang menawarkan pusat setempat hasil pertanian seperti yang diamalkan di negara-negara maju, Menurut Najib, adalah satu konsep yang boleh menjayakan dan menarik minat para pelancong terhadap hasil pertanian.
Satu cara bagaimana pengeluar hasil tani boleh mendapat pendapatan yang lebih lumayan ialah dengan menghasilkan makanan yang lebih berkualiti tinggi atau dikenali sebagai "makanan gourmet".
Pengerusi FAMA, Datuk Paduka Badruddin Amiruldin ketika berucap di Majlis tersebut, berkata program dan aktiviti FAMA berkaitan hasil Tani akan diselaraskan dengan program Gedung Makanan Negara di mana petani-petani FELDA akan bertindak sebagai antara pembekal utama hasi l pertanian segar kepada pelbagai konsep Pasar Tani.
"Dalam RMK10, FAMA bercadang mewujudkan 100 pasar tani setiap tahun," katanya.
Selain itu, menurutnya, program FAMA meliputi rancangan untuk menambah bilangan usahawan Pasar Tani daripada 15,000 (dalam Rancangan Malaysia ke-sembilan) kepada 30,000 orang (akhir RMK10).
Dalam Konvensyen Pasar Tani hari ini, Pasar Tani Bergerak yang menggunakan van, atau 'karavan', hasil daripada cetusan idea "FAMA", juga telah turut diperkenalkan.
Tujuan karavan ini, menurut Badruddin adalah untuk bergerak ke lokasi-lokasi Pasar Tani serta ke tempat lain untuk memasarkan hasil pertanian secara terus kepada pengguna.
Menteri Pertanian & Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Hj Omar ketika berucap di Konvensyen itu berkata, di dalam pembentangan Bajet 2010 baru-baru ini, sejumlah RM6 bilion telah diperuntukkan bagi memajukan sektor pertanian.
"Salah satu daripada inisiatif yang akan dilaksanakan termasuk program inkubator untuk melatih dan memimpin belia serta graduan menjadi usahawan tani yang berjaya," kata Noh.
Program itu akan dijalankan secara kerjasama di antara Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, Kementerian Belia dan Sukan, Universiti Putra Malaysia, Agro Bank dan Wilayah Pembangunan Koridor, katanya.
-- BERNAMA |