|
SHAH ALAM, 15 Okt (Bernama) -- Kesemua pasar tani di Selangor yang dikelolakan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM60 juta sehingga September tahun ini.
Penolong Pengarah Bahagian Komunikasi Korporat Fama Selangor, Mohemed Zharaubi Kafi berkata nilai jualan itu merupakan pencapaian 71 peratus daripada sasaran keseluruhan 2009 iaitu sebanyak RM85 juta.
Beliau berkata nilai jualan yang memberangsangkan itu adalah hasil usaha penjual pasar tani di seluruh kawasan di Selangor yang memasarkan produk tani mereka termasuk bahan segar dan siap diproses, yang dilakukan secara berterusan.
"Perkembangan ini hasil usaha dedikasi peserta pasar tani yang menggunakan peluang perniagaan melalui Fama termasuk memasarkan dan meyediakan produk berkualiti serta promosi yang dijalankan secara bersama sejak awal tahun ini," katanya kepada Bernama di sini , Khamis.
Mohemed Zharaubi berkata, tahun lepas pasar tani di Selangor mencatatkan nilai jualan terkumpul sebanyak RM77 juta hasil pembukaan beberapa pasar tani di kawasan yang mempunyai permintaan dan tarikan penduduk di sekitar negeri itu.
Beliau berkata pada tahun ini, bagi memastikan sasaran nilai jualan dapat dicapai, beberapa pasar tani baru juga akan dibuka bermula hujung bulan ini.
Antara pasar tani baru yang akan dibuka ialah di Sungai Rambai, Banting membabitkan 60 orang peniaga dan mula beroperasi pada 23 Okt ini pada setiap Jumaat bermula pukul 4 petang hingga 10 malam.
Pasar tani Putra Heights, Subang Jaya pula akan memulakan perniagaan pada 25 Okt ini, bermula pukul 7 pagi hingga 1 tengah hari setiap hari Ahad membabitkan 70 orang peniaga manakala di Prima Damansara, Damansara akan beroperasi setiap Ahad, mulai 4 petang hingga 10 malam bermula 8 Nov ini membabitkan 70 orang peniaga.
Mohemed Zharaubi berkata kesemua pasar tani itu membabitkan peniaga baru terdiri daripada pelbagai lapisan pengeluar iaitu petani, nelayan, penternak dan usahawan perusahaan kecil dan sederhana.
Beliau berkata Fama juga dalam perancangan untuk membuka empat lagi pasar tani baru menjelang akhir tahun ini iaitu di Taman Selasih, Gombak; Pandan Jaya, Ampang; Bandar Liga Emas, Batang Kali dan Bandar Baru Sungai Buaya, Rawang.
Sehingga kini terdapat 50 pasar tani kelolaan Fama beroperasi di Selangor.
-- BERNAMA
|