|
NILAI, 13 Okt (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dijangka melaksanakan sepenuhnya sistem e-penggredan untuk pengeksport buah-buahan dan sayur-sayuran selewat-lewatnya pada 2010.
Timbalan Ketua Pengarah FAMA (Pembangunan), Sahbani Saimin berkata, e-penggredan merupakan program pemeriksaan kualiti dan pengesahan gred oleh FAMA berpandukan kepada peraturan-peraturan di bawah Pelesenan Pengeksportan Buah-buahan 1990 di bawah Seksyen 5 subperaturan (1).
"Sistem e-grading (e-penggredan) ini digunakan melalui web (Internet), yang membolehkan FAMA beroperasi dengan lebih cekap dan berkesan," katanya dalam satu kenyataan Selasa.
Beliau berkata sistem itu juga telah digunakan oleh pengeksport melalui sistem Kawal Atur Kendiri oleh Entiti Terkawal (SRBRE).
"Objektif e-penggredan adalah untuk memudahkan pelaksanaan pemeriksaan gred keluaran hasil pertanian melalui sistem elektronik, yang mana pada peringkat pertama ini, 16 pengeksport menerima pentauliahan mereka hari ini," katanya.
Menurut Sahbani, sebelum ini untuk mengeksport, kebanyakan pengeksport terpaksa menghantar buah-buahan atau sayur-sayuran ke Pusat Pemeriksaan Kualiti Hasil Pertanian FAMA di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) atau memanggil Jurugred FAMA ke premis pengeksport, yang mungkin memakan masa kira-kira tiga jam.
Melalui e-penggredan, proses hanya mengambil antara 10 hingga 20 minit sahaja, di premis pengeksport sendiri, katanya.
Sahbani berkata bagi fasa pertama (2006-2007), kemudahan penggredan elektronik untuk dua komoditi iaitu buah belimbing besi B10 (carambola) dan betik Eksotika, telah dibangunkan; manakala bagi fasa kedua (2008) tiga komoditi telah siap dibangunkan iaitu tembikai, nanas dan kobis bulat.
"Bagi fasa ketiga (2009 - 2010) kami menambah lapan lagi komoditi hasil keluaran pertanian terpilih iaitu pisang Cavendish, berangan dan mas; mangga Harumanis dan Chokanan, betik sekaki dan nangka," katanya.
Sahbani berkata pengiraan yang dibuat melalui sistem e-penggredan lebih tepat kerana dilakukan oleh sistem automatik, di mana pengeksport hanya perlu menghantar pengesahan dalam talian (melalui Internet) secara percuma, tanpa menggunakan kertas.
Maklumat kemudiannya disimpan dalam pelayan (server) dan boleh dibuka pada bila-bila masa.
Menurut Sahbani satu dialog turut diadakan dengan pengeksport seluruh negara bagi mencari jalan kesepakatan untuk mengatasi protokol negara pengimport dan meminta kerajaan melalui FAMA serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani campur tangan bagi menanganinya.
-- BERNAMA |