FAMAlink

News

Exclusive
Activities & Events
Public Info
  OTHERS
FAMA Facts
Malaysia's Fruits
Editors Crop
Links

Campaign

  Home      About FAMA       Archived       Contact Us

Versi Bahasa Malaysia

 

 

Links


 

 

  

   

  FAMA Mahu Pasarkan Kopinya Dengan Lebih Agresif Lagi

Oleh Muammar Kamarudin

KUALA LANGAT, 10 Feb (Bernama) -- Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) tidak mahu ketinggalan di dalam merebut pasaran kopi negara yang sedang berkembang dan akan mengorak langkah memasarkan produk kopinya dengan lebih agresif lagi.

Pengurus Pembangunan Industri Asas Tani (Kopi) FAMA Abd Moeen Abd Wahid berkata pasaran kopi di Malaysia sebenarnya adalah besar dan FAMA yang sekarang ini menumpukan perhatiannya di Sarawak dengan kopi keluarannya berjenama "Anggerek" mampu merekodkan jualan RM3.2 juta setahun.

Beliau berkata beliau tiada statistik rasmi nilai pasaran kopi yang sebenarnya di Malaysia tetapi FAMA sahaja mampu meraih jualan kopi yang dalam jutaan ringgit lagi dan ramai lagi pengusaha serbuk kopi pra-campuran dengan herba seperti Tongkat Ali dan Kacip Fatimah yang muncul di seluruh negara bagaikan cendawan tumbuh menunjukkan bahawa kopi sebenarnya mendapat permintaan yang tinggi di Malaysia.

Ada di kalangan pengusaha kopi pra-campuran herba ini tidak mempunyai kilang sendiri tetapi mengupah pengilang persendirian untuk memproses serbuk kopi formula mereka sebelum dipasarkan, katanya kepada Bernama ketika ditemui di kilang kopi FAMA di Kg Kanchong Darat, Banting dekat sini baru-baru ini.

Katanya FAMA juga menyediakan perkhidmatan mengilang dan membungkus kepada para usahawan kecil sederhana yang berminat di mana mereka boleh mengupah FAMA memproses kopi mengikut formula dan cara serta corak pembungkusan mereka sendiri.

Seperkara lagi, menurut pemerhatiannya, yang merupakan perkembangan memberangsangkan di dalam industri kopi tempatan ialah kemunculan rangkaian kopitiam di seluruh negara.

Oleh itu, beliau berkata, beliau akan mengkaji beberapa kaedah bagi menggalakkan para pegawai pemasaran FAMA untuk bertindak dengan lebih agresif di dalam memasarkan produk keluaran FAMA seperti pemberian komisyen berdasarkan jualan dan waktu kerja yang lebih anjal.

Beliau berkata kopi Anggerek tidak banyak menghadapi masalah pemasaran di Sarawak kerana di sana terdapat rangkaian pengedaran yang kukuh sehingga menguasai 80 peratus daripada pasaran kopi di negeri terbesar di Malaysia itu.

Antara faktor yang menyebabkan kopi Anggerek (Anggerek) diterima ramai di Sarawak ialah kerana ia menggunakan bahan yang asli seperti biji kopi, gula, gandum dan marjerin selain kebersihannya terjamin dan tiada penggunaan benda asing seperti kelapa kering di dalam proses pembuatannya, katanya.

Buat masa ini, Kopi Anggerek di pasarkan di pasar tani di seluruh negara, katanya.

"Setakat ini, Kopi Anggerek hanya menguasai 10 hingga 12 peratus pasaran kopi di Semenanjung Malaysia dan FAMA bercita-cita meningkatkannya kepada 20 peratus," katanya lagi.

Pada masa ini, antara produk kopi keluaran FAMA ialah kopi campuran, kopi pracampur tiga dalam satu, biji kopi Arabica yang dipanggang untuk kegunaan mesin pembuat kopi dan FAMA akan mengeluarkan kopi dalam uncang dan cappuchino selepas ini, katanya.

Selain pasaran dalam negeri, FAMA juga telah mula memasuki pasaran Cina dan Asia Barat melalui kopi pra-campur tiga dalam satunya dan mungkin selepas ini ke Turki yang akan menjadi papan anjal ke benua Eropah, katanya.

Ditanya mengapa sebelum ini FAMA tidak menumpukan kepada pasaran Semenanjung Malaysia, katanya FAMA sebelum ini tidak mahu bersaing dan memberi peluang kepada para pengusaha kecil kopi di Semenanjung tetapi keadaan kini telah berubah dan FAMA perlu bersaing dan menembusi semua pasaran.

Lagi pun, beliau berkata FAMA mempunyai kilangnya sendiri di sini yang mampu memproses sehingga tiga ke empat tonne biji kopi sehari dengan 15 kakitangan.

Abd Moeen berkata antara cabaran yang dihadapi oleh FAMA ialah saiz ladang kopi di daerah ini semakin mengecil kerana tarikan tanaman komersil yang lain seperti kelapa sawit dan kekurangan pekerja untuk memetik buah kopi.

Oleh itu, selain menggunakan kopi jenis Liberica sebagai bahan mentah pembuatan kopi, FAMA juga mengimport kopi Robusta dari Indonesia.

-- BERNAMA

 
 

2014 BERNAMA. All Rights Reserved. Privacy policy | Terms of use
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.