Bernama.com
Am 13 Jun, 2013 21:11 PM
 
Jumlah Akauntan Profesional Bumiputera Perlu Ditingkatkan - Ahmad


KUANTAN, 13 Jun (Bernama) -- Jabatan Akauntan Negara perlu memperkenalkan lebih banyak insentif untuk meningkatkan lagi jumlah akauntan profesional Bumiputera di negara ini.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan berkata pada masa ini jumlah akauntan profesional Bumiputera hanya tujuh peratus daripada keseluruhan 27,000 akauntan berdaftar dengan pelbagai badan profesional di negara ini.

"Kalau kita ambil kira jumlah tujuh peratus itu, boleh kita rumuskan bahawa ia amat kecil dan perlu diberi perhatian.

"Oleh itu saya syorkan kepada pihak berkenaan seperti Jabatan Akauntan Negara atau mana-mana agensi kerajaan lain agar memberikan insentif khas untuk menarik lebih ramai akauntan Bumiputera berdaftar dengan badan profesional," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Persidangan Akauntan Sektor Awam Malaysia 2013 di sini, Khamis. Seramai 415 akauntan daripada pelbagai sektor perkhidmatan awam menghadiri persidangan dwitahunan itu.

Ahmad turut meminta akauntan bumiputera mengubah persepsi dan tidak terlalu selesa dengan pencapaian yang dimiliki walaupun telah bergelar akauntan bertauliah.

"Mereka perlu menambah nilai kelulusan yang ada dengan mengambil peperiksaan yang disyorkan oleh badan akauntan bertauliah antarabangsa. Jika orang lain boleh, mengapa mereka (akauntan Bumiputera) tidak," katanya.

Sementara itu, Ahmad berkata sistem perakaunan tunai ubah yang diguna pakai kerajaan persekutuan dan negeri pada ketika ini akan diubah kepada sistem perakaunan akruan bermula tahun 2015.

Beliau berkata sistem perakaunan baharu itu adalah selaras dengan Dasar Transformasi Sektor Awam yang digariskan dalam Model Ekonomi Baru yang telah diluluskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Pelaksanaannya akan memberi kesan signifikan dalam pengurusan berhemat serta dapat mempertingkatkan kecekapan pengurusan kewangan dan perakaunan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri.

"Sistem ini juga dapat mempersiapkan ekonomi negara bagi mencapai taraf negara maju menjelang 2020 kerana sistem ini telah pun diguna pakai di negara maju yang lain," katanya.



-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels