Bernama.com
Rencana 14 Mac, 2012 16:51 PM
 
Pariaman Menanti Kedatangan Pelancong


Oleh Kurniawati Kamarudin

PARIAMAN (PADANG), 14 Mac (Bernama) -- Jolokan "Piaman Leweh" dalam bahasa Minang yang bermaksud "Pariaman yang luas" diberikan kepada daerah Pariaman, di Sumatera Barat, yang cukup terkenal dengan seni budaya.

Daerah ini juga terdiri daripada enam buah pulau iaitu Pulau Bando, Pulau Gosong, Pulau Ujung, Pulau Tangah, Pulau Anso Duo dan Pulau Kasiak, yang masih belum tercemar.

Bila melihat tempat ini pada masa sekarang adalah sukar untuk mempercayai bahawa Pariaman adalah antara daerah di Sumatera yang dilanda gempa bumi kuat pada 30 Sept, 2009 yang mengorbankan 1,200 mangsa.

Di Pariaman sahaja, hampir 80 peratus rumah dan bangunan musnah, malah ada kampung yang lenyap dimakan bumi berikutan tragedi itu.

Bagaimanapun, Pariaman yang mempunyai kepadatan penduduk hampir 80,000 orang tabah membina semula ekonominya yang kaya dengan hasil pertanian antaranya sawah, kelapa dan hasil ternakan.



HIKMAH DI SEBALIKNYA

Namun selepas gempa, keadaannya berbeza. Pariaman menjadi sebutan dan terkenal bukan sahaja di kalangan rakyat Indonesia malahan masyarakat luar yang datang membantu berikutan tragedi itu.

Kedatangan ramai pasukan sukarelawan ketika memberi bantuan, telah membuatkan Pariaman dikenali terutama setelah pasukan itu melihat sendiri keindahan alam semulajadi dan kehidupan serta budaya masyarakat Minangkabau di Pariaman, yang cukup istimewa.

Ia umpama rezeki selepas gempa, menurut Ketua Komite Nasional Pemuda Indonesia (KNPI) Pariaman, Riky Falantino.

"Banyak sektor pelancongan yang belum dibangunkan di Pariaman, sedangkan di sini kami memiliki segalanya, dengan kehijauan sawah padi yang luas, laut dan pulau yang cantik serta budaya yang indah.

"Langkah kerjasama dengan belia Malaysia adalah titik permulaan bagi kami membuka seluas-luasnya Pariaman untuk menerima kedatangan pelancong," katanya ketika Program Pertukaran Belia dan Program Belajar (YES) anjuran Persatuan Asrama Belia Malaysia (MYHA) Bersama pemerintah Kota Pariaman.



KOTA PELANCONGAN

Kedudukannya stategik, berada di tengah-tengah antara Padang dan Bukit Tinggi iaitu kira-kira satu jam perjalanan dari lapangan terbang Bandara Internasional Minangkabau dan dari Pariaman hanya mengambil masa kira-kira dua jam perjalanan ke Bukit Tinggi, lokasi pelancongan yang terkenal di Sumatera Barat.

Mempunyai pesisir pantai yang luas, ia mempunyai ciri-ciri pantai yang istimewa yang sesuai untuk bercuti terutama di Pantai Gondariah di Kota Pariaman.

Tidak kurang juga di Pantai Cermin di Kampung Karan Aur, Pantai Kata dan Pantai Sunur yang sangat sesuai untuk aktiviti meluncur air.

Bagi merancakkan lagi aktiviti pelancongan, perjalanan kereta api dari Padang ke Pariaman dibuka setiap hari.

Perjalanan selama dua jam dari Padang ke Pariaman pastinya akan memberi pengalaman berbeza kepada pelancong terutama dapat menyaksikan sendiri keindahan sawah padi dan pemandangan bukit menghijau di sepanjang perjalanan.

Setiap hari, hanya dua kali jadual perjalanan kereta api dari Padang ke Pariaman iaitu 6.30 pagi dan 11 pagi, manakala dari Pariaman ke Padang pukul 9 pagi dan 4 petang.

Sampai di Pariaman, penumpang akan turun di stesen berhampiran dengan pantai Gondariah yang akan memudahkan pelancong terus menikmati keindahan pantai di sana.



PELBAGAI JUADAH DAN TEMPAT MENARIK

Di sepanjang persisir pantai, jangan lupa mencuba Sala Lauak iaitu makanan ringan khas dari Pariaman yang diadun dari tepung beras yang dicampur dengan kunyit dan ikan.

Bagi orang Pariaman, Sala biasanya dimakan bersama dengan nasi atau nasi himpit yang dihidang dengan gulai lemak pucuk paku.

Buah kelapa Pariaman antara yang terbaik dihasilkan di Indonesia. Tidak hairanlah keenakan masakan lauk nasi padang asli di wilayah Padang sendiri menggunakan santan dari kelapa daerah Pariaman.

Selain makanan, masyarakat di Pariaman juga kaya dengan hasil kerja tangan. Wanitanya cukup terkenal dalam menghasilkan sulaman, pakaian dan telekung.



Bila di Pariaman, jangan ketinggalan untuk melawat Pulau Angso Duo di mana terletaknya kubur sepanjang 4.5 meter yang dikaitkan dengan peninggalan pengembangan Islam pada zaman Sheikh Burhanuddin, ulamak yang mengembangkan Islam di sini.



KAYA BUDAYA

Orang Minangkabau cukup berbangga dengan tarian piring yang menjadi sebahagian daripada kesenian mereka. Namun berbeza di Pariaman, selain tarian piring mereka juga mempunyai budaya khas iaitu sambutan Tabuik.

Diraikan setiap tahun mengikut bulan Islam bermula 1 hingga 10 Muharram, ia diangkat menjadi satu pesta besar-besaran malah dimasukkan antara tujuh pesta budaya kebangsaan.

Puluhan ribu masyarakat Pariaman dan pelancong luar termasuk dari Iran meraikan sambutan ritual tabuik yang mempunyai pengaruh syiah bagi memperingati kematian Hassan dan Husein, cucu Nabi Muhamad SAW dalam Perang Karbala.

Upacara kemuncak pada 10 Muharram bermula sejak awal pagi hingga ke senja dengan membuang dua buah tabuik yang dibuat dari buluh setinggi 12 meter berbentuk rekaan burung, struktur keranda, dengan lapan buah payung kecil ke laut.



MENCUBA TEH TELUR

Jika sudah sampai di Pariaman, jangan lupa mencuba teh telur, yang menjadi minuman popular masyarakat di sini yang dipercayai mampu mengembalikan tenaga yang telah hilang.

Teh yang diadun dengan sebiji telur kampung yang dikacau sehingga kembang serta susu itu menjadi pilihan terutama lelaki, dengan menikmatinya di tengah-tengah malam.

Penulis berkesempatan ke Pasar Kuraitaji, yang menjadi pilihan penduduk sekitar Pariaman untuk menikmati teh telur yang cukup popular di sini.

Menurut peniaga teh telur yang membuka gerai minuman di sini, Batman, 55, sebanyak 200 telur ayam kampung habis digunakan setiap hari untuk memenuhi permintaan pelanggan.

Di gerainya, bukan sahaja menghasilkan teh telur, malah minuman lain terutama jus buah-buahan seperti avocado dan buah limau yang dipanggil jus jeruk.

Tanpa menggunakan peralatan elektrik, sebiji telur dipukul sendiri menggunakan besi pemukul telur. Sekurang-kurangnya lima minit diperlukan untuk memukulnya bagi memastikan telur itu benar-benar kembang.

"Lebih nikmat pukul sendiri dan apabila dicampur dengan teh dan susu, tidak akan rasa lagi hanyir telur itu," katanya yang menjual segelas teh telur berharga 5,000 rupiah.

Benar kata orang "tak kenal maka tak cinta" begitu juga dengan Pariaman, sudah kenal, teringat-ingat keindahannya, makanan serta budaya masyarakat yang ramah menanti, bagai berada di kampung sendiri.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels