Bernama.com
Rencana 29 November, 2011 14:26 PM
 
Adakah Jururawat Dibebani Tugas Berat? Mungkinkah Kekurangan Satu Faktor?


Oleh Zulkiple Ibrahim

Ini adalah bahagian kedua daripada tiga artikel mengenai kerjaya sebagai jururawat. Bahagian ini cuba mengupas adakah faktor kekurangan petugas yang menyebabkan berlakunya beban kerja yang tinggi dalam kalangan jururawat?

KUALA LUMPUR, 29 Nov (Bernama) -- "Sabar. Saya cuma ada dua tangan, boleh tunggu sekejap tak!".

Sememangnya bunyinya agak keras dan kasar, tetapi itulah apa yang berlaku seperti yang dialami oleh seorang pesakit bila beliau berada dalam wad sebuah hospital di sini.

"Saya hanya mahu bertanyakan tentang ubat saya. ketika itu hanya ada dua atau tiga jururawat yang sedang bertugas. Keadaan ketika itu agak sibuk dan sesak sekali.

"Semua jururawat yang ada terpaksa menjaga pesakit lain yang lebih memerlukan rawatan.

"Saya memang faham situasi ketika itu kerana mereka (jururawat) terpaksa menyelesaikan dahulu tugasan yang lebih penting.

"Terdapat ramai pelawat pula sedangkan jururawat bertugas hanya dua atau tiga orang. Jururawat yang saya panggil agaknya rasa tertekan dengan beban kerja yang berat lalu hilang kawalan perasaannya bila beliau jadi terlalu sibuk," cerita pesakit yang mahu dikenali sebagai Fatima Bee dari Pulau Pinang.

Kenapa terjadinya keadaan di mana bilangan jururawat bertugas tidak mencukupi?

Bagi mereka yang bekerja dalam industri penjagaan kesihatan, kekurangan dalam sektor kejururawatan lebih-lebih lagi di hospital kerajaan adalah satu realiti yang menakutkan.

KEKURANGAN JURURAWAT

Maklumat daripada pihak berkuasa kesihatan, lebih 70 peratus hospital awam di Malaysia mempunyai kekurangan dari segi bilangan jururawat.

Menurut laporan media, Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, Malaysia mempunyai 109 universiti dan kolej yang menawarkan program latihan kejururawatan.

Program ini ditawarkan oleh 85 universiti dan kolej swasta (IPTS) dan 10 universiti awam (IPTA) di seluruh negara termasuk satu yang dikendalikan Kementerian Pertahanan selain 38 sekolah latihan kejururawatan di bawah kendalian Kementerian Kesihatan.

Beliau juga dilaporkan berkata terdapat 80,000 jururawat berdaftar di seluruh negara tetapi hanya kira-kira 80 peratus jawatan telah diisi.

Terdapat juga 1,100 jururawat Malaysia yang bertugas di luar negara, katanya.

Liow juga dilaporkan berkata negara melahirkan 8,000 jururawat setiap tahun tetapi bilangan ini perlu ditambah sebanyak 30 peratus untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan negara.

TEKANAN

Ramai dalam industri penjagaan kesihatan menyifatkan kerjaya sebagai jururawat sebagai satu kerja bebanan tinggi dan mendatangkan stres.

Menurut Dr Ahmat Fakrudin, seorang pengamal perubatan yang pernah berkhidmat di beberapa hospital awam, secara amnya para jururawat dibebani dengan tugas yang banyak serta berat.

"Kekurangan jururawat juga menjadikan beban kerjaya itu semakin berat. Muncullah stres dan masalah kesihatan daripada kesan beban kerja berat ini. Oleh itu tidak hairanlah kenapa ramai jururawat yang meninggalkan profesion ini lebih awal dari yang sepatutnya," kata beliau.

Katanya, faktor kualiti penjagaan pesakit juga perlu diambil kira sebab kekurangan jururawat bertugas bermakna kualiti kerja yang diberi kepada pesakit tidak memuaskan.

"Saya percaya, bila bilangan jururawat yang bertugas pada sesuatu masa bertambah dan mencukupi, kepuasan terhadap perkhidmatan yang diberikan juga akan meningkat," katanya.

PERLUNYA LEBIH RAMAI JURURAWAT

Bagi pensyarah Sains Kejururawatan Mary Lim, terdapat keperluan ketara bagi pertambahan bilangan jururawat di semua hospital seluruh negara bagi mendapatkan nisbah yang agak sesuai untuk penjaga kesihatan dan pesakit pada masa akan datang.

"Terdapat beberapa faktor menyebabkan terdapat kekurangan dalam bilangan jururawat yang berkhidmat dalam sektor penjagaan kesihatan negara," katanya.

Kata Lim, kemasukan jururawat pelatih di kolej-kolej latihan jururawat adalah tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan kejururawatan.

Ramai yang memohon tidak berjaya kerana mereka dianggap mempunyai kelulusan akademik yang terlampau tinggi lantas dianggap tidak berapa sesuai untuk tugas seperti jururawat.

"Ada permohonan yang ditolak kerana dianggap sebagai lebih dari layak kerana kelulusan akademik yang dicapai adalah tinggi," kata beliau.

Oleh itu tidak ramai dari kalangan jururawat terlatih yang berkelayakan bagi menduduki jawatan tinggi dalam jawatan akademik dan fakulti.

"Daripada mereka yang mempunyai diploma kejururawatan, tidak ramai iaitu hanya peratusan kecil sahaja yang melanjutkan kerjaya mereka ke peringkat lebih tinggi seperti kursus sarjana muda dan sarjana. Jadi hanya segelintir sahaja yang mempunyai kelayakan akademik yang cukup bagi bidang pengajaran kejururawatan dalam akademik dan klinikal.

"Bila kita berjaya menyelesaikan masalah ini, ibarat membaiki saluran paip yang tersumbat dan menggerakkan jururawat berkemahiran memasuki bidang pengajaran dan mengeluarkan lebih ramai jururawat dalam industri," kata beliau.

KHIDMAT 24 JAM

Menurut Lim, perkhidmatan kejururawatan adalah 24 jam sehari jadi ia memerlukan petugas yang mencukupi.

"Kami (jururawat) percaya beban tugas yang berat berpunca daripada bilangan jururawat yang tidak mencukupi dan ini memberi kesan yang negatif terhadap kualiti penjagaan pesakit," katanya.

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), nisbah yang dicadangkan bagi jururawat kepada penduduk sesebuah negara seperti Malaysia ialah 1:200.

Di Malaysia, nisbah itu adalah satu untuk 329 penduduk. Negara memerlukan 150,000 jururawat bagi memenuhi tuntutan penjagaan kesihatan masyarakat yang optimum.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels