Bernama.com
Ekonomi 23 November, 2011 15:27 PM
 
Rumpai Laut Sabah Catat Hasil RM62,000 Tahun Lepas


KOTA KINABALU, 23 Nov (Bernama) -- Perolehan rumpai laut yang diusahakan di Sabah mencecah RM62,355 pada tahun lepas dan ia dijangka terus meningkat.

Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Bobby Ahfang Suan berkata nilai itu semakin meningkat sejak 2005 (RM5,342) dan RM44,519 pada 2008.

"Peningkatan nilai pendapatan rumpai laut juga disumbang oleh aktiviti nilai tambah yang diperkenalkan, misalnya penghasilan rumpai laut kering putih bagi tujuan makanan, garam, dan kualiti pembungkusan," katanya ketika menjawab soalan Datuk Harman Mohammad (BN-Sulabayan) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini Rabu.

Selain itu, beliau berkata penambahan keluasan penanaman rumpai laut juga menyumbang kepada peningkatan hasil rumpai laut iaitu daripada 960 hektar pada 2005 yang menghasilkan 3,142 tan metrik rumpai kering kepada 7,730 hektar yang menghasilkan 11,129 tan metrik rumpai kering pada 2008.

Tahun lepas, keluasan penanaman diperluaskan lagi kepada 7,942 hektar yang menghasilkan 20,785 tan metrik, katanya.

Dari kiraan produktiviti penghasilan rumpai laut kering pula, Bobby berkata pengeluaran adalah pada satu hingga dua tan metrik sehektar bagi setiap pusingan pengkulturan yang mengambil tempoh dua bulan.

"Pada tahun lepas, produktiviti ialah pada kadar 2.63 tan metrik setahun sehektar berbanding tahun sebelumnya (2.4 tan metrik) dan 1.44 tan metrik setahun sehektar pada 2007 dan 2008," katanya.

Bobbey berkata pembangunan rumpai laut dijangka terus meningkat dengan pesat ekoran keputusan kerajaan pusat untuk menetapkan industri rumpai laut sebagai salah satu daripada 16 projek permulaan (EPP) mengikut program Bidang Keberhasilan Ekonomi Negara (NKEA) bagi sektor pertanian.

Menurutnya, daerah Semporna mendahului lima daerah lain di Sabah menjadi pengeluar utama rumpai laut dengan pengeluaran 90 peratus, diikuti Lahad Datu (7.0 peratus) dan Kunak, Tawau dan Banggi masing-masing menghasilkan 1.0 peratus.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels