Bernama.com
Rencana 15 November, 2011 15:06 PM
 
Batam, Destinasi Rehat


Oleh Hazlinda Hamzah

PULAU BATAM (INDONESIA), 15 Nov (Bernama) -- Perjalanan dengan feri dari Stulang Laut di Johor untuk sampai ke sini mengambil masa antara satu setengah jam atau dua jam.

Untuk ke pulau Batam, seseorang hanya perlu membayar RM13 bagi perjalanan satu hala menaiki feri, yang boleh memuatkan 100 penumpang.

Feri bertolak dari pelabuhan Stulang Laut, yang terletak di timur bandar Johor Baharu, menuju ke beberapa destinasi di Indonesia termasuk ke Tanjung Pinang dan Pulau Batam.

Baru-baru ini penulis berpeluang melawat pulau ini, yang terletak ke selatan Singapura dalam satu lawatan yang dianjurkan oleh KTMB. Pulau ini sebenarnya begitu sering dikunjungi pelancong dari Johor dan negara jiran Singapura.

Perjalanan laut ke Pulau Batam dengan feri adalah cukup selesa. Tempat duduk dalam feri ini yang tidak berapa sempit, bertiga-tiga setiap sebelah dan bertingkap luas sesuai untuk perjalanan yang memakan masa sehingga dua jam.

Ini memudahkan penumpang melihat persekitaran perairan sepanjang perjalanan. Terdapat juga siaran televisyen Indonesia serta tayangan filem 'DVD' oleh negara ASEAN yang lain untuk mengisi masa dan menghiburkan penumpang dalam feri.

DESTINASI PELANCONGAN

Batam adalah satu daripada 3,000 buah pulau yang terdapat di Kepulauan Riau, yang hanya 20 km dari Singapura.

Pelancong mengunjungi pulau ini untuk beberapa sebab. Ada untuk membeli-beli, melawat tempat bersejarah dan selebihnya untuk menikmati pelbagai jenis makanan.

Tidak jauh dari tempat berlabuhnya feri di Batam, terdapat Masjid Raya iaitu masjid terbesar, yang sering dipenuhi ramai jemaah dari kalangan petugas awam mengerjakan solat setiap hari termasuk solat Jumaat saban minggu.

Ini kerana di sekeliling kawasan itu ditempatkan beberapa buah bangunan pejabat pemerintah.

Tidak jauh dari masjid pula terletak sebuah bukit yang dihiasi lerengnya dengan frasa "Welcome to Batam" dan ia dijadikan latarbelakang pengambilan gambar yang popular oleh pengunjung.

Penulis turut dibawa melawatinya sebelum ke tempat penginapan di Hotel Lovina di kawasan Nagoya.

Kawasan ini dinamakan Nagoya kerana ia satu daripada dua belas titik jajahan yang dibuka pihak Jepun.

Tidak jauh dari hotel bertaraf tiga bintang itu terletak sebuah kompleks membeli-belah, Nagoya Hills.

Ramai pengunjung ke sini tidak melepaskan peluang membeli oleh-oleh dari Batam untuk dijadikan cenderahati.

Kos penginapan juga tidak mahal di bilik hotel yang bersih untuk dua orang yang bertaraf 'Bed & Breakfast', dengan hanya RM70 semalam berserta sarapan pagi.

DANAU

Pulau seluas kira-kira 415 km persegi ini sebenarnya dipenuhi danau.

"Ada kira-kira lima atau enam buah danau di pulau ini. Ia menjadi sumber air untuk penduduk di pulau Batam. Penduduk juga boleh memancing di kawasan berair ini," kata Yuli, seorang pemandu pelancong.

Danau yang mudah dilihat dari darat itu sememangnya cantik dan airnya kelihatan jernih dan tenang meluas dari jalan yang selari dengannya.

"Airnya kaya dengan hidupan. Memang ramai yang suka bersantai berdekatan danau-danau ini. Segar dan bersih udaranya," Yuli terus menceritakan kepada pelancong yang menaiki bas bersamanya ke Jambatan Barelang.

JAMBATAN BARELANG

Banyak jambatan yang mengagumkan strukturnya dibina untuk menghubungkan pulau-pulau berdekatan supaya tempat menarik di kawasan itu mudah dikunjungi pelancong.

Jambatan-jambatan itu dikenali sebagai Jambatan Barelang, sepanjang 2.0 km secara keseluruhan. Ada yang mempunyai gerbang, berkabel, jenis 'cantilever' dan jambatan 'girder.'

Terdapat enam buah jambatan penghubung dalam rangkaian Barelang ini dan jambatan Tengku Fisabilillah yang lebih popular, seringkali dijadikan destinasi untuk dikunjungi pelancong ke Batam.

Jambatan Tengku Fisabilillah sepanjang 642 meter menghubungkan Pulau Batam dan Tonton, terdapat dua tiang yang menegak setinggi 118 meter menjadi penghubung kabel-kabel besi di kedua-dua belahnya, sebagai pemegang sisi jambatan supaya stabil.

SATE SAPI

Ada yang ingin bergambar sementara peniaga bermotor' atau motorsikal mengambil kesempatan melariskan jualan makanan dan minuman yang mereka jaja sepanjang jambatan berpegangan kabel ini walaupun waktu sudah senja.

"Sate sapi ini enak. Sepuluh ribu Rupiah," jerit seorang penjual sambil membakar sate yang dijualnya. Terdapat juga rojak buah, ketam atau 'kepiting' bakar dan makanan kering lain dijaja di sini.

Untuk melihat keenam-enam jambatan itu, pelancong memerlukan 50 minit untuk menyelesaikan perjalanan mereka dari satu jambatan Barelang kepada yang lain, sejauh 50 kilometer keseluruhannya.

Nama-nama jambatan ini diambil bersempena nama-nama pemimpin Melayu-Kepulauan Riau dari abad ke-15 hingga 18.

PERLINDUNGAN UNTUK PELARIAN VIETNAM

Seterusnya, penulis juga melawat Pulau Galang.

Kisah pelarian Vietnam mencari tempat berlindung bukan saja melanda Malaysia tetapi juga Indonesia pada tahun 1970-an.

Pulau Galang turut menjadi tempat tumpuan warga Vietnam yang melarikan diri dari negara mereka, yang sedang bergolak ketika itu.

Ramai yang mendapatkan perlindungan di situ terdiri daripada mereka yang mempunyai kerjaya, berada dan golongan profesional termasuk pakar perubatan.

Perjalanan ke pulau ini mengambil masa hampir 75 minit dari bandar Batam. Sepanjang perjalanan itu dipenuhi dengan pemandangan yang tidak banyak berbeza dari apa yang boleh kita lihat di Malaysia sendiri.

Pokok menghijau di kiri dan kanan jalan selain kelihatan beberapa buah kompleks membeli-belah di sepanjang perjalanan.

Terdapat juga satu kawasan yang diberi nama Muka Kuning, yang menempatkan kilang-kilang malah adalah daerah industri yang terbesar di pulau Batam.

Tapak bekas kem penempatan pelarian Vietnam di pulau Galang ini dikatakan berbentuk segiempat sama dan di sinilah terletaknya sebuah hospital kecil, kuil Buddha, tanah perkuburan dan rumah kediaman yang kecil-kecil.

"Tiket memang dikenakan untuk bas melepasi pagar ke kawasan ini tetapi sayangnya tempat ini tidak dijaga, malah kalau dilestarikan sejak tapak kem tidak lagi diduduki orang Vietnam pada tahun 1995, pasti lebih menguntungkan.

"Saiznya pun tidak begitu besar, kurang lebih 35 meter persegi," jelas Yuli sambil berjalan ke arah pusat informasi bersama pelancong yang dibawanya untuk melihat pameran terbuka peninggalan pelarian di situ termasuk dua buah kapal kayu yang membawa pelarian Vietnam itu ke bumi Indonesia lebih 35 tahun lepas.

Terdapat juga sebuah patung 'Kemanusiaan' yang didirikan bersempena hari Bangsa-Bangsa Bersatu pada 1985, di tengah-tengah kawasan penempatan ini.

Melawat ke beberapa buah tempat menarik di pulau Batam sememangnya suatu pengalaman yang tidak dapat dilupakan walaupun penulis hanya sempat berada di sana untuk satu perjalanan yang pendek, dua hari satu malam.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels