Bernama.com
Am 09 November, 2011 18:16 PM
 
Kerajaan Perkenal Tapisan Keselamatan Elektronik e-Vetting


PUTRAJAYA, 9 Nov (Bernama) -- Kerajaan telah memperkenalkan tapisan keselamatan elektronik (e-Vetting) dalam usaha mentransformasi dan memodenkan proses tapisan keselamatan perkhidmatan awam.

Ketua Pengarah Keselamatan Kerajaan Datuk Johari Jamaluddin berkata sistem itu telah dibangunkan oleh pejabat Ketua Pegawai Keselamatan Kerajaan Malaysia (CGSO), Jabatan Perdana Menteri dan boleh dilayari melalui laman sesawangnya iaitu (www.cgso.gov.my).

"e-Vetting telah dilaksanakan secara berperingkat mulai 24 Jun lalu di jabatan dan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pelajaran, Kementerian Pengajian Tinggi dan Kementerian Kesihatan Malaysia.

"CGSO dijangka memperluaskan sistem ini ke seluruh sektor awam di peringkat Persekutuan dan Negeri," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata tapisan keselamatan sebelum ini dilaksanakan secara manual mengambil masa sehingga enam bulan untuk diselesaikan dan kelemahannya ialah semakan status permohonan tidak dapat dibuat oleh pemohon.

"Sistem ini (e-Vetting) membolehkan pemohon, jabatan yang memohon, CGSO dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memantau statusnya setiap masa," katanya.

Menurutnya melalui sistem e-Vetting, pemohon adalah bertanggungjawab sepenuhnya terhadap kesahihan maklumat yang dikemukakan.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels