Bernama.com
Rencana 06 September, 2011 12:35 PM
 
Peranan Bomba Dalam Menangani Jenayah Kebakaran


Oleh Luqman Nul Hakim Mazlan

PUTRAJAYA, 6 Sept (Bernama) -- Bila memperkatakan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), perkara pertama yang terlintas di fikiran ialah peranan yang dimainkan olehnya dalam memadam kebakaran, membantu mengeluarkan mangsa kemalangan jalan raya dan memujuk mereka yang cuba membunuh diri.

Mungkin masih ramai tidak menyedari, di sebalik tugas berani yang dijalankan itu, jabatan bomba juga mengendalikan siasatan mereka sendiri sama seperti mana polis.

Kerjasama seumpama dilihat perlu bagi membuktikan sesuatu kes di mana penjenayah bijak menyembunyikan jenayah yang dilakukan bagi pelbagai tujuan di samping mengelakkan perbuatan mereka daripada dikesan.

Antara jenayah itu ialah bagi mendapatkan ganti rugi terhadap sesuatu yang dibakar contohnya kilang, rumah dan gudang daripada pihak syarikat insurans dengan "mencipta kemalangan atau kebakaran".

Ketua Pengarah JBPM Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata pihaknya menjalankan siasatan dan membantu polis terutama dalam jenayah yang berkaitan kebakaran contohnya kes kilang dan rumah.

"Pegawai kita juga akan menjadi saksi dalam perbicaraan mahkamah bagi membantu pihak polis dalam memberi bukti sesuatu kes," katanya ketika ditemui Bernama di pejabatnya baru-baru ini.

PELBAGAI TEKNIK SIASATAN

Wan Mohd Nor berkata pelbagai teknik dengan mengunakan peralatan tertentu digunakan anggota bomba bagi menjalankan siasatan kebakaran dalam mendapatkan bukti untuk tujuan dibawa ke mahkamah.

"Kita mempunyai peralatan khusus untuk penyiasatan kebakaran, misalnya satu sampel yang kita jumpa di tempat kebakaran akan dianalisis dengan menggunakan tiga jenis mesin.

"Tiga mesin yang digunakan itu adalah bagi mengesan sama ada minyak atau bahan lain digunakan untuk tujuan pembakaran.

"Dan jika ia memberikan kesan positif bahawa memang sengaja dibakar dengan menggunakan minyak atau apa juga bahan, barulah disebut dalam laporan," katanya.

Beliau berkata sekiranya terdapat kemungkinan sesuatu kebakaran disengajakan, atau mempunyai niat jahat pihak bomba akan melaporkannya kepada polis dan polis akan menjalankan siasatan.

BERI KETERANGAN KEPADA MAHKAMAH

Beliau berkata pihak bomba bekerjasama dengan polis dalam menyalurkan maklumat yang diperoleh daripada siasatan kebakaran untuk dibawa ke mahkamah.

"Pegawai kita yang pergi ke mahkamah akan menjelaskan bagaimana mereka membuat ujian dan sebagainya, berdasarkan bagaimana sampel kebakaran sesuatu diambil, diuji dan diperoleh dari jenis apa bahan yang digunakan untuk tujuan pembakaran," katanya.

KERJASAMA SEJAK 2007

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah (Siasatan Kebakaran) JBPM, Edwin Galan Teruki berkata pihak bomba telah bekerjasama dengan PDRM sejak 2007 bagi membantu kes kebakaran yang melibatkan pelbagai perkara di negara ini.

"Kerjasama itu memang sudah ada sejak sekian lama bagi mendapat dan memantapkan lagi bukti siasatan sebelum dibawa ke mahkamah," katanya.

Unit siasatan kebakaran Jabatan Bomba Malaysia mempunyai seramai 460 anggota yang terlatih dalam menjalankan tugas.

"Latihan yang dijalani bagi menyiasat kebakaran selalunya mengambil masa selama dua minggu. Kami melatih mereka cara untuk mengesan punca dan mengambil gambar sesuatu kebakaran sebelum memperoleh bukti," katanya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels