Bernama.com
Rencana 02 Ogos, 2011 12:59 PM
 
Gula Melaka Bukan Hanya Untuk Masakan


Oleh Mohammad Shahemy Azmi

MELAKA, 2 Ogos (Bernama) -- Gula melaka, yang dikenali juga sebagai gula kabung atau gula nipah sememangnya sinonim dengan masakan tradisional masyarakat Melayu tetapi ia juga boleh digunakan bagi tujuan lain.

Selain daripada menjadi bahan utama dalam pengat bubur, cendol. ais kacang dan inti kuih, gula melaka boleh juga digunakan tujuan perubatan tradisional.

Masyarakat Melayu menggunakannya untuk meredakan batuk iaitu secara mencampurkan gula melaka dengan air asam jawa untuk diminum.

Bahan itu juga digunakan masyarakat dahulu untuk menurunkan suhu badan dengan meminum air yang direndam dengan gula melaka.

PENGUSAHA GULA MELAKA

Menurut seorang pengusaha gula melaka, Ideris Zainudin, 47, proses membuat gula melaka memerlukan ketelitian dan masa yang panjang iaitu ianya dimulakan dengan memotong bahagian hujung mayang pokok kelapa untuk mendapatkan air nira.

Air nira yang berwarna putih bersih yang menitik ini akan ditadah dengan tabung yang diperbuat daripada buluh dan diikat pada pokok berkenaan.

"Air nira yang telah dikumpulkan tadi hendaklah dimasak dengan cepat kerana jika terdedah dengan suhu yang panas terlalu lama, nira akan mudah rosak dan menjadi masam," katanya.

Nira itu dimasak sehingga pekat dan proses itu memakan masa sehingga lima hingga enam jam dan suhu api hendaklah sentiasa dikawal supaya nira yang dimasak itu tidak hangus.

Nira kelapa yang telah pekat akan berubah warna kepada cokelat gelap dan mempunyai rasa yang lemak manis secara semulajadi dan pada tahap inilah terhasilnya gula melaka yang akan dituang ke dalam acuan buluh untuk dibentuk dan dibiarkan keras.

Gula melaka yang telah siap dimasak hanya mengambil masa selama lima minit sahaja untuk menjadi keras. Gula melaka boleh dicairkan kembali dengan memasaknya semula.

PRODUK LAIN

Ideris yang mengusaha gula melaka sejak 36 tahun lepas berkata gula melaka mempunyai keenakan yang tersendiri iaitu rasa lemak dan manis berbanding gula pasir yang hanya manis sahaja.

Ideris adalah antara pengusaha tradisional gula melaka yang memasarkan produknya ke seluruh negara. Produk lain yang diusahakannya seperti dodol, cencaluk dan sagun yang kesemuanya dihasilkan di rumahnya, di Kampung Kandang dekat sini.

Perusahaannya melalui syarikat Perniagaan Hj.Ideris, kini semakin berkembang dengan memasarkan beberapa produk dengan jenama "Haji Ideris" seperti 13 jenis dodol pelbagai perasa seperti perasa durian, mangga, strawberi dan pandan.

Atas permintaan yang menggalakkan, perniagaan Ideris terus berkembang sehingga beliau mampu memperoleh pendapatan antara RM6,000 dan RM8,000 sebulan.

Bercerita mengenai pembabitan awal dalam perusahaan membuat gula melaka, Ideris berkata beliau bukan dari keluarga yang menjalankan perniagaan, sebaliknya beliau percaya bahawa rezeki dalam perniagaan dapat mengubah kehidupannya.

"Semenjak usia 15 tahun,saya sudah mula berniaga secara kecil-kecilan di sekitar Padang Pahlawan di Bandar Hilir, Melaka," katanya.

CENCALUK

"Dengan hanya bermodalkan sebanyak RM500, saya memulakan perniagaan menjual air batu (ais) dan mampu mendapat keuntungan sekitar RM200 sehari mengikut musim," katanya.

Kini produk keluaran syarikat beliau dipasarkan ke seluruh Melaka dan negeri lain termasuk di beberapa hipermarket.

Lebih membanggakannya, dodol keluarannya turut mendapat pasaran di luar negara seperti Indonesia, Singapura, Australia dan negara timur tengah.

Ideris juga memperkenalkan produk baru iaitu "cencaluk 3 in 1" iaitu cencaluk segera yang siap dicampur bahan seperti bawang dan cili, yang boleh terus dihidangkan.

Beliau berkata idea untuk menghasilkan cencaluk segera ini bermula selepas ramai pengguna yang bertanyakan cara yang betul bagi hidangan cencaluk, lantas tercetuslah idea untuk beliau menghasilkan cencaluk segera.

Ditambah dengan keadaan semasa di mana orang ramai kini sibuk dengan kerja dan untuk menjimatkan masa, cencaluk segera ini dapat dimakan dengan segera tanpa perlu dicampur lagi dengan bahan seperti cili dan bawang.

Menurut beliau cencaluk buatannya mampu bertahan sehingga dua hingga ketiga bulan jika disimpan dengan baik.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels