Bernama.com
Am 13 Julai, 2011 18:48 PM
 
KPF2 Mampu Saingi Koperasi Permodalan Felda Dalam Pemberian Dividen


JOHOR BAHARU, 13 Julai (Bernama) -- Majlis Belia Felda Malaysia (MBFM) yakin Koperasi Permodalan Felda 2 (KPF2) mampu memberikan pulangan dividen sebanyak 15 peratus kepada ahli-ahlinya, menyamai dengan apa yang dilakukan oleh Koperasi Permodalan Felda.

Presidennya Anuar Abdul Manap berkata MBFM mahu anggotanya mengambil peluang dan memastikan generasi baru Felda menyertai KPF2 dan melabur di dalam koperasi terbabit.

"Dengan pendaftaran sebanyak RM20 dan saham minimum RM100, MBFM berkeyakinan kebolehan KPF2 akan dapat menyaingi Koperasi Permodalan Felda yang kini memberikan pulangan dividen sebanyak 15 peratus kepada ahli-ahlinya," katanya di sini, Rabu.

Beliau meminta kesemua pengerusi di 11 wilayah supaya memaklumkan pengerusi belia masing-masing di semua 317 rancangan untuk memberikan borang dan mengumpul seramai mungkin ahli untuk menghadiri mesyuarat agung KPF2 November depan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada 30 Julai tahun lepas mengumumkan penubuhan KPF2 dengan dana awal RM10 juta untuk membantu generasi muda Felda terlibat dalam aktiviti pembangunan dan perniagaan syarikat Felda.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels