Bernama.com
Am 23 Mei, 2011 20:28 PM
 
Kraftangan Malaysia Sasar Nilai Jualan Hasil Kraf Di Sabah Mencecah RM2 Juta Tahun Ini



Peserta (dari kiri) Weklene Majaun, 36; Fatricia Majin, 21; Notiah Wandak,42; Jainah Wahin, 47, dan Betneh Monjirim, 36, menunjukan kraftangan yang dihasilkan oleh mereka selepas Majlis Perasmian Penutupan Aktiviti Bimbingan Teknikal Pembuatan Produk Aksesori Manik Baru di Kampung Tinangol. Seramai 30 peserta menerima sijil penyertaan selepas mengikuti kemahiran teknik baru kraftangan manik pada majlis tersebut anjuran Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia cawangan Sabah.

KUDAT, 23 Mei (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (PKKM) cawangan Sabah menyasarkan nilai jualan hasil kraf di negeri itu mencecah RM2 juta pada tahun ini berbanding RM1.6 juta yang direkod pada tahun lalu.

Pengarahnya Mohd Latif Dirun berkata walaupun jumlah nilai jualan tahun lalu menurun daripada pencapaian 2009 iaitu RM1.8 juta, pihaknya yakin hasil jualan pada tahun ini akan meningkat dan mencapai sasaran.

"Setakat ini kita telahpun mencatat nilai jualan hasil kraf kira-kira RM450,000," katanya ketika ditemui semasa majlis penutupan program Bimbingan Teknikal Kemahiran Baru bagi pembuatan produk aksesori manik di Kampung Tinangol, Matunggong dekat sini.

Program empat hari yang bermula Jumaat lalu melihat hampir 30 peserta yang terdiri daripada para pengusaha atau pembuat kraf manik di sekitar kampung itu mengambil bahagian.

Menyentuh mengenai program itu, Mohd Latif berkata ia merupakan pertama kali pihaknya menganjurkan program kemahiran baru di negeri ini, di mana dua tenaga pengajar dibawa dari Kuala Lumpur untuk menurunkan ilmu dan berkongsi rekaan baru dengan para peserta.

Katanya campuran bahan tradisional manik Sabah dengan bahan-bahan dari Kuala Lumpur dan Sarawak dilihat sebagai salah satu cara meluaskan dan menambah baik bidang produk-produk manik.

PKKM Sabah dengan itu menyasarkan untuk mempromosikan produk dan rekaan gabungan baru manik tersebut ke peringkat kebangsaan melalui Hari Kraf Kebangsaan pada 28 Feb tahun depan.

"Jadi (program) ini adalah peringkat awal di mana kita beri kemahiran baru kepada peserta-peserta di Kg Tinangol ini yang juga terlibat dalam Satu Daerah Satu Industri (SDSI) bagi tujuan pendedahan. Kita akan terus membimbing mereka dalam mempromosikan rekaan baru ini nanti," jelas beliau.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Matunggong, Sarapin Magana yang merasmikan penutupan majlis tersebut, berkata kebanyakan pengusaha kraftangan di kampung itu telahpun mendaftar di bawah program SDSI yang mana dapat membantu mengubah keadaan ekonomi penduduk tempatan.

"Bagaimanapun, bantuan kerajaan masih diperlukan untuk membina infrastruktur bangunan khas yang mana mereka ini bolehlah membuat kerja-kerja kraf manik ini.

"Jadi mereka pengusaha yang terlibat boleh berkumpul. Selain itu bangunan ini juga perlu sebagai pusat pengumpulan supaya pembekal senang datang," kata Saripin.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels