Bernama.com
Am 31 Mac, 2011 20:38 PM
 
Kampus Baru Kolej Sains Perubatan Antarabangsa PUSRAWI Di Mukim Batu


KUALA LUMPUR, 31 Mac (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) akan mewujudkan kampus baru untuk Kolej Sains Perubatan Antarabangsa PUSRAWI (PICOMS) di mukim Batu serta menaik taraf kampusnya di Bangunan Baitulmal, Jalan Ipoh.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata MAIWP telah membeli sebuah bangunan empat tingkat di mukim Batu dengan harga RM15 juta untuk kampus baru itu.

"Semua ini dilakukan sebagai memenuhi sebahagian matlamat penubuhan MAIWP iaitu memastikan wang zakat yang diterima digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan terutama golongan asnaf melanjutkan pelajaran peringkat diploma atau ijazah," katanya dalam ucapan perasmian pada majlis penjenamaan semula PICOMS di Masjid Wilayah, Jalan Duta di sini.

Ucapannya dibacakan oleh Ketua Umno Bahagian Kepong, Datuk Ridzuan Abdul Hamid.

PICOMS sebelum ini dikenali sebagai Kolej Kejururawatan Pusrawi yang hanya menawarkan program Diploma Kejururawatan.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif PICOMS Datuk Mahamad Zubir Sheikh Saad berkata kolej itu menawarkan sebanyak lima kursus baru peringkat diploma dan dua program usaha sama dengan Universiti Al-Azhar, Mesir dan Universiti Sains dan Teknologi Jordan di peringkat ijazah sarjana muda di kampus PICOMS.

Antaranya Diploma Kesihatan Persekitaran, Diploma Farmasi, Diploma Fisioterapi, Diploma Sains Perubatan dan Diploma Pembantu Perubatan manakala program usaha sama pula ialah Ijazah Sarjana Muda Perubatan dan Ijazah Sarjana Muda Perubatan Pergigian.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels