Bernama.com
Ekonomi 14 Mac, 2011 16:32 PM
 
SME Bank Beri Peluang PKS Ketengahkan Idea Melalui IQ-Dagang


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Lima belas daripada 116 idea peniagaan yang dikemukakan oleh usahawan kecil dan sederhana kepada Bank Perusahaan Kecil & Sederhana Malaysia Bhd (SME Bank), menerusi program inovatif IQ-Dagang, berjaya dilaksanakan.

IQ-Dagang, program idea atau rancangan perniagaan yang direalisasikan kepada perniagaan berdaya maju dan menguntungkan, dan dibuka untuk pendaftaran empat kali setahun.

Pengarah Urusan SME Bank Datuk Mohd Radzif berkata program IQ-Dagang bermula Oktober tahun lepas dan sehingga Januari 2011, 116 idea perniagaan diterima dan daripada jumlah itu, 15 idea perniagaan dapat dimajukan sehingga layak mendapat kemudahan pembiayaan.

Berucap pada pelancaran IQ-Dagang di sini Isnini, SME Bank menyasarkan idea-idea atau rancangan perniagaan dalam 12 industri Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) yang dikenal pasti, dengan tumpuan awal pada enam industri strategik iaitu minyak dan gas, pendidikan, pembinaan, kesihatan, makanan dan pengangkutan dan logistik

Pelancaran itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri, Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mukhriz Mahathir.

Mukhriz berkata kementerian itu sentiasa mencari jalan untuk membantu syarikat yang berpotensi memasarkan produk mereka di luar negara.

Sementara itu, menjawab pertanyaan mengenai cadangan kerajaan menggabungkan atau menstruktur semula SME Bank dan Agro Bank, Mukriz berkata kerajaan masih belum membuat keputusan mengenai isu tersebut.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels