Bernama.com
Am 14 Mac, 2011 15:42 PM
 
Tiga Syarikat Pembuat Kasut Bumiputera Sertai Pameran Kasut Antarabangsa 2011


KUALA LUMPUR, 14 Mac (Bernama) -- Tiga syarikat pembuat kasut Bumiputera terkenal buat julung kalinya akan menyertai Pameran Kasut Antarabangsa 2011 (MISF 2011) bulan depan bagi mempromosikan hasil kraf dan seni tempatan dalam pembuatan kasut ke peringkat global.

Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen berkata tiga syarikat itu ialah V-Tops Leather yang menghasilkan pelbagai jenis kasut kulit yang boleh mencecah harga RM12,000 sebuah, Kulit Kraf yang membuat kasut untuk tentera, industri dan produk kulit serta pembuat capal, Lambaharin.

"Mereka akan pamerkan produk mereka di Pesta Kasut kali ini, walaupun ada produk mereka yang dijual dengan harga mahal orang masih beli kerana krafnya begitu halus dan cantik," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berkata demikian selepas menyaksikan upacara menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Mercedes-Benz Malaysia dengan STYLO International sempena STYLO Fashion Grand Prix KL 2011 yang akan diadakan pada 3 hingga 10 April ini.

MISF 2011 akan diadakan di Dewan 2, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini pada 7-10 April.

Ketika berucap, Dr Ng berkata pereka kasut terkenal dunia Prof Datuk Dr Jimmy Choo juga akan hadir pada pameran itu dan memperagakan koleksi kasut rekaan beliau yang hanya dijual di bilik pamerannya di 18, Connaught Street, London.

"Lebih 166 ruang pameran dengan lebih 50 jenama kasut tempatan terkenal termasuk Zang Toi, Larrie, Carlo Rino, Nose, Bill Keith, Paula Moda, Fiorucci, Asadi, Princess, Vern's dan Dr Cardin akan mengambil bahagian dalam pameran itu," katanya.

Dr Ng berkata pameran itu menyasarkan untuk menarik lebih 80,000 pengunjung tempatan dan asing.

"Objektif penganjuran MISF 2011 ialah untuk mempromosikan pelancongan kasut khususnya kasut buatan tempatan dan untuk menarik lebih ramai pelawat (asing) untuk datang dan tinggal lebih lama di Malaysia," katanya.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels