Bernama.com
Ekonomi 27 November, 2010 18:04 PM
 
Kereta Mewah Sebagai Hadiah Utama Cabutan Sijil Simpanan Premium BSN


PETALING JAYA, 27 Nov (Bernama) -- Kereta mewah seperti Mercedes Benz C200EL, E200 CGI, BMW 523i dan BMW 320i Coupe adalah antara hadiah-hadiah cabutan Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional (BSN) pada akhir tahun.

Hadiah-hadiah lain termasuklah sebuah Toyota Camry 2.0E, Perodua Alza MPV 1.5 serta pakej mengerjakan umrah.

Timbalan Ketua Perbankan Pengguna dan Pembangunan Perniagaan, Yunos Abd Ghani berkata pemenang hadiah-hadiah utama akan diumumkan di Melaka.

Beliau berkata berikutan sambutan menggalakkan untuk SSP, BSN telah meningkatkan harga bulanan kepada 1,700 berbanding 1,616 tahun lepas.

"Konsep simpan dan menang, telah menjadikan SSP antara produk simpanan paling popular di kalangan rakyat Malaysia.

"Setakat ini, kami mempunyai lebih daripada 1.4 juta pemegang SSP dengan nilai melebihi RM1.44 bilion. Tahun lepas, kami mencatatkan 1.2 juta pemegang," kata beliau kepada pemberita di Karnival Mega SSP BSN, pada hari Sabtu.

Yunos menjangkakan yang jumlah itu akan meningkat lagi tahun depan hasil promosi secara agresif oleh bank berkenaan.

"Kami merancang menawarkan lebih banyak hadiah dan promosi menarik untuk menarik lebih ramai pemegang sijil," tambah beliau.

Sijil SSP boleh dibeli di mana-mana mesin teler, mesin deposit tunai cawangan BSN, malah menerusi perbankan internet BSN yang baru dilancarkan dengan simpanan minimum RM10.

"Perbankan internet MyBSN ialah satu lagi inisiatif yang diambil oleh BSN untuk menyediakan pilihan kemudahan perbankan asas kepada pengguna," tambah beliau.

Setakat ini, lebih 24,000 pengguna telah menggunakan MyBSN.

Menjelang akhir 2011, 300,000 pengguna dijangka menggunakan perkhidmatan perbankan internet.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels