| 573 Kes Penipuan Jualan Langsung, Gores Dan Menang Dicatatkan Sejak Januari |
|
NUSAJAYA, 28 Okt (Bernama) -- Sebanyak 573 kes penipuan melibatkan jualan langsung serta peraduan gores dan menang dicatatkan di seluruh negara sejak Januari hingga Ahad lepas.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Tan Lian Hoe berkata ibu negara mencatatkan kes tertinggi dengan 219 kes, diikuti 143 kes di Selangor, 96 kes di Johor manakala bakinya di lain-lain negeri.
"Mangsa penipuan ini bukan sahaja membabitkan suri rumah tetapi golongan berpendidikan termasuk graduan, doktor, pengarah syarikat, guru dan kakitangan awam," katanya kepada pemberita di Kota Iskandar, di sini Khamis.
Beliau berkata pihaknya yakin terdapat kes penipuan yang tidak dilaporkan oleh mangsa dalam kalangan berpendidikan tinggi kerana faktor malu.
Katanya terdapat penurunan kes penipuan jualan langsung serta gores dan menang di negeri ini dengan hanya satu kes dicatatkan pada bulan ini, selepas penutupan ibu pejabat sindiket itu di Permas Jaya, Johor Baharu, dua minggu lepas.
Dalam pada itu, Tan berkata sebanyak 450 kes Tribunal Tuntutan Pengguna Malaysia (TTPM) dicatatkan di negeri ini sejak Januari hingga Ahad lepas dengan purata 45 hingga 50 kes sebulan.
Beliau berkata daripada 450 kes, 358 sudah diselesaikan manakala 92 lagi dalam pemerhatian.
Sehubungan itu katanya, kempen kesedaran pengguna yang dimulakan sejak 2002 akan diteruskan bagi melahirkan golongan celik pengguna.
Beliau sebelum itu merasmikan Seminar Memperkasakan Pengguna anjuran Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam (Puspanita).
-- BERNAMA
|
|
|