Bernama.com
Ekonomi 19 Oktober, 2010 21:15 PM
 
Kerajaan Perlu Kurangkan Perbelanjaan Mengurus Secara Berperingkat, Kata Mahani


KUALA LUMPUR, 19 Okt (Bernama) -- Kerajaan perlu mengurangkan perbelanjaan mengurus secara berperingkat dalam jangka masa panjang untuk memastikan defisit berada pada tahap boleh diurus, kata pakar ekonomi.

Dalam Bajet 2011, nisbah perbelanjaan mengurus kepada perbelanjaan pembangunan adalah 77:23.

Defisit dijangka lebih rendah pada kadar 5.4 peratus tahun depan berbanding jangkaan 5.6 peratus tahun ini.

"Untuk mengimbangi kedua-dua perbelanjaan ini mungkin susah. Namun kerajaan boleh mengecilkan sedikit nisbah ini kepada 70:30," kata Ketua Eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS), Datuk Dr Mahani Zainal Abidin kepada pemberita selepas mempengerusikan seminar Dialog Pasca Bajet 2011, di sini.

Pengurangan ini, katanya boleh dilakukan dengan mengurangkan saiz pekerja sektor awam, termasuk perbelanjaan pencen serta subsidi.

"Semua ini memerlukan proses yang panjang dan perlu dilakukan dengan berhati-hati supaya tanggungjawab dan komitmen kerajaan terhadap rakyat masih dapat dijalankan," katanya.

Kerajaan akan membelanjakan sebanyak RM212 bilion dalam Bajet 2011, dengan sebanyak RM162.81 bilion diperuntukan untuk perbelanjaan mengurus manakala bakinya sebanyak RM49.18 bilion, untuk perbelanjaan pembangunan.

Mahani berkata peruntukan perbelanjaan mengurus banyak digunakan untuk membayar pekerja sektor awam yang kini seramai 1.2 juta orang, serta pembayaran pencen.

Sejumlah RM45.6 bilion diperuntukan untuk emolumen manakala RM12.3 bilion untuk pencen dan ganjaran.

Menurut Mahani, walaupun terdapat peningkatan dalam keseluruhan perbelanjaan kerajaan kepada RM212 bilion pada tahun 2011 berbanding RM206.2 bilion pada tahun 2010, beliau yakin kerajaan masih mampu mengurangkan deficit pada tahun depan.

"Memang ada sedikit pertambahan perbelanjaan, tetapi saya juga yakin kerajaan tidak berbelanja sesuka hati," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels