Bernama.com
Ekonomi 28 Julai, 2010 21:32 PM
 
Inai Kiara Bina Kapal Baru Bagi Hadapi Saingan Global


PELABUHAN KLANG, 28 Julai (Bernama) -- Inai Kiara Sdn Bhd, syarikat tempatan yang terlibat dalam industri pengerukan pasir, Rabu melancarkan kapal korek buatannya, Inai Ixora sebagai usaha untuk menghadapi perubahan dan persaingan di dalam industri pengerukan pada peringkat tempatan dan antarabangsa.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Gulzar Mohamad Noor Mohamed berkata rakan-rakan seangkatan beliau dalam perniagaan pengerukan pasir ini telah menambah kapal-kapal baru memandangkan perubahan peraturan dalam membida tender mengeruk pasir ketika ini yang menghadkan umur kapal korek yang akan digunakan.

"Ada tender mengeruk pasir di luar negara yang menghadkan umur kapal yang digunakan mesti tidak melebihi 15 tahun," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Inai Ixora, kapal korek yang boleh mengorek sehingga kedalaman 22 meter, dilepaskan ke dalam laut dari limbungan anak syarikat Inai Kiara, Selat Melaka Shipbuilding Sdn Bhd.

Kapal korek sepanjang 84 meter, yang mempunyai tenaga 13,200 kuasa kuda itu, dibina di limbungan Selat Melaka Shipbuilding selama 16 bulan di Pulau Indah.

Gulzar berkata Inai Kira mengambil langkah membina sendiri kapal koreknya bagi menghadapi persaingan global dengan kos lebih RM200 juta menerusi pembiayaan Malayan Banking Bhd.

Beliau berkata Inai Ixora boleh membawa 36 anak kapal akan memulakan operasinya di luar negara mulai September ini.

Ia sesuai digunakan di dalam kerja-kerja penyelenggaraan pelabuhan, penambakan tanah dan penebatan banjir, katanya lagi.

Buat masa ini, Gulzar berkata 60 peratus daripada kontrak yang diperolehi Inai Kiara adalah di luar negara dan 40 peratus di dalam Malaysia.

Beliau berkata sebuah lagi kapal korek buatan Inai Kiara, Inai Liatree akan dilancarkan Disember ini.

Kapal itu sudah hampir siap di mana enjin dan peralatan pengerukan sudah dipasang, katanya.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels