Bernama.com
Rencana 27 Julai, 2010 16:07 PM
 
Berhenti, Anda Disaman!


Oleh Hazlinda Hamzah

KUALA LUMPUR, 27 Julai (Bernama) -- Seorang pemandu wanita pernah bercerita bagaimana beliau menangis di hadapan polis yang menahan keretanya kerana takut disaman.

Adakah reaksi yang sama boleh kita jangkakan apabila beliau disaman pihak berkuasa tempatan atas kesalahan jalan raya juga?.

Mungkin tidak, sebab kompaun yang dikenakan atas kesalahan meletak kenderaan, menghalang laluan dan mengeluarkan asap yang berlebihan serta tidak membayar tiket parkir, tidak menuntut jumlah denda yang besar.

Disebabkan itu juga mungkin, seperti apa yang diperkata oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) Datuk Adnan Md Ikshan, statistik terkumpul untuk kompaun kenderaan yang dikeluarkan majlis itu mencecah puluhan ribu setiap tahun sepanjang 10 tahun lalu.

"Pada tahun 2000, jumlah saman yang dikeluarkan sebanyak 15 ribu. Kemudian pada tahun 2001, kenaikannya agak menakutkan sehingga lebih 75 peratus.

"Ekoran kempen keselamatan jalan raya yang diperbanyak di kawasan ini, angka keseluruhan saman untuk tahun 2008 ialah 20 ribu. (Bagaimanapun) tahun lepas meningkat lebih kurang 50 peratus,

"Jumlah kompaun yang berjaya dikutip mencatat RM1.2 juta untuk tahun 2009 berbanding hanya RM930 ribu pada tahun sebelumnya," kata Adnan.



PETALING JAYA

Di kawasan seliaan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pula, pendapatan daripada bayaran saman untuk tahun 2009, ialah hampir RM700 ribu, sementara untuk 2010, setakat Jun, kutipan baru mencecah RM285,476.20 sen.

Bagaimanapun menurut bahagian penguatkuasaan dan keselamatan MBPJ, terdapat penurunan di dalam jumlah saman yang dikeluarkan di kawasan penyeliaannya.

Lebih 91 ribu kompaun dikeluarkan pada tahun 2009 dan setakat bulan Jun 2010, hanya 44,600 kompaun dikeluarkan.



KUNCI SAMAN

Dalam usaha mengurangkan tunggakan bayaran kompaun atau saman pula, MPSJ memperkenal "kunci saman"" sejak Disember 2009.

Kunci saman atau sebenarnya ialah sejenis tag kuning (beserta surat saman)yang dilekatkan pada cermin sisi di tingkap pemandu) kenderaan yang melakukan kesalahan jalan raya,

Menurut MPST, lebih mudah dan berkesan untuk "menangkap" pemandu menggunakan cara ini kerana kos penyelenggaraan yang lebih rendah berbanding kos menunda kenderaan mereka yang meletak kereta sesuka hati.

Prinsip di sebalik pelaksanaan kunci saman ini lebih kepada mengingatkan pengguna jalan raya akan keperluan melangsaikan pembayaran saman secepat mungkin.

Setakat ini sudah 2,800 kompaun daripada kunci saman dikeluarkan. Kini kutipan untuknya mencapai 76 peratus atau hampir 2,174 kes selesai.

"Masih ada 25 peratus daripada penerima kunci saman yang belum menjelaskan pembayaran saman mereka dan tidak memulangkan kunci (tag hanya akan dibuka bila pemandu membayar saman).

"Tempoh pembayaran kompaun ialah dua minggu, tetapi ada yang cuba merosakkan kunci yang dilekatkan pada kenderaan mereka dan kompaun di atas kesalahan itu ialah RM1,000," kata Adnan.

Kedua-dua MBPJ dan MPSJ mendapati usaha mengambil tindakan melalui penguatkuasaan yang ketat memang berhasil dan secara langsung meningkatkan tahap kesedaran pengguna jalan raya.



PENGANGKUTAN AWAM

Perancangan untuk memperbaik rangkaian pengangkutan awam di kawasan seliaan majlis ini diharap akan menyumbang kepada penurunan kadar kesalahan di jalan raya kerana pengguna tidak perlu bergegas memandu kenderaan sendiri ke destinasi yang ingin dituju dan meletak kenderaan di mana ada kesempatan.

Adnan yakin penduduk di dalam kawasan MPSJ pasti berasa lega bila projek membina rangkaian LRT ke Subang Jaya, USJ, Puchong dan beberapa kawasan sekitarnya dilaksana.

Bilangan bas yang melalui kawasan ini juga akan bertambah dengan penyediaan 77 buah stesen bas baru tahun ini.

Secara langsung peningkatan kemudahan pengangkutan awam ini diharap akan mengurangkan bilangan kenderaan yang dipandu sendiri dan menurunnya pengeluaran kompaun kesalahan di jalan raya.



PERKHIDMATAN BAS KOMUNITI

Sama juga keadaannya di kawasan MBPJ, dalam usaha mengelak kesesakan di jalan raya, berebut parkir dan sebagainya, majlis itu meningkatkan khidmat bas komunitinya.

Syarikat bas yang mengendalikan pengangkutan awam untuk pengguna di kawasan Petaling jaya, termasuk bas Syarikat RapidaKL turut digalakkan menambah bilangan bas untuk menampung keperluan penduduk.

Menurut Jabatan Penguatkuasaan dan Keselamatan MBPJ orang ramai digalak melunaskan pembayaran kompaun dengan tawaran diskaun sebanyak 50 peratus dalam dalam tempoh 14 hari disaman.

Notis peringatan juga dikeluarkan jika pembayaran tertangguh lebih sebulan selepas saman dikeluarkan.

MBPJ turut menguatkuasakan tindakan lanjut ke atas kompaun yang tidak dijelaskan menerusi tindakan mahkamah tetapi sebelum itu, carian dari rumah ke rumah turut dibuat.

Setakat Jun tahun ini, 670 kes diusahakan secara carian dari rumah ke rumah melibatkan individu yang memiliki lebih daripada 10 saman berkompaun yang tidak dijelaskan.

Menurut jabatan itu, tindakan mengunci tayar kenderaan pula tidak lagi dijalankan di kawasan MBPJ. Bagaimanapun tindakan menunda kenderaan masih dilaksanakan di kawasan yang mempunyai tahap kesesakan yang tinggi.

Betapa bertuahnya pengguna jalan raya di sini kerana saman boleh dibayar secara tertangguh dan diberikan notis peringatan.

Di beberapa negara, pesalah lalu lintas disaman serta merta atau dikenakan penalti berat, bagi mengekang banyak kesalahan dilakukan.

Ada negara mengenakan hukuman penjara, pasport tidak boleh diperbaharui dan lesen memandu ditarik segera jika pemandu terlibat kemalangan maut.

Betapa manjanya pengguna jalan raya di Malaysia, kerana bukan sahaja diberi peringatan mengenai saman, tetapi jumlah kompaun juga boleh dirayu untuk dikurangkan. Alangkah beruntungnya.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels