Bernama.com
Am 22 Julai, 2010 18:19 PM
 
Persatuan Alam Sekitar Perak Bimbang Kilang Besi Terlalu Hampir Tempat Peranginan


IPOH, 22 Julai (Bernama) -- Persatuan Alam Sekitar Perak Khamis merayu kerajaan negeri memindahkan projek kilang besi yang bakal dibangunkan di Teluk Muroh dekat Lumut ke kawasan lain kerana tapak cadangan berkenaan terlalu hampir dengan pantai peranginan Teluk Batik.

Presidennya Abdul Rahman Said Alli berkata projek besar itu perlu dipindahkan ke kawasan perindustrian Kampung Acheh yang terletak di Sitiawan atau kawasan lain yang lebih sesuai.

"Lokasi sekarang terletak di bekas Hutan Simpan Teluk Muroh yang terlalu hampir dengan kawasan pelancongan...ia bertentangan dengan wawasan Majlis Perbandaran Manjung menjadikan daerah itu sebagai tumpuan pelancongan dan maritim di pantai Barat," katanya kepada pemberita di sini.

Beliau berharap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir bukan sahaja akan memindahkan tapak kilang itu tetapi turut mengambil langkah mewartakan semula kawasan hutan simpan kira-kira 480 hektar itu.

Kawasan berkenaan dijadikan sebagai tanah negeri lebih 20 tahun lepas dan ia kini dimiliki syarikat pengeluar besi Brazil, Vale SA (Vale).

"Berdasarkan laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) yang disediakan oleh Vale, mereka akan membina pelabuhan sendiri dengan jeti kira-kira 300 meter dari pantai Teluk Muroh dan menggali dasar laut sedalam 30 meter dan selebar 550 meter.

"Pelabuhan dan jeti ini untuk memudahkan kapal besar membawa bahan mentah dari negara lain untuk diproses menjadi kepingan besi dan dieksport semula ke seluruh Asia," katanya.

Beliau berkata projek berkenaan dikhuatiri akan menjejaskan daya tarikan Teluk Batik selain menimbulkan masalah pencemaran dan merosakkan sistem ekologi.



-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels