Bernama.com
Am 26 April, 2010 11:39 AM
 
Felda Security Tambah Anjing Perkuat Unit K9 Polis Bantuan Felda


SEREMBAN, 26 April (Bernama) -- Felda Security Services Sdn Bhd menambah anjing unit K9 Polis Bantuan Felda dalam usaha memantapkan lagi perkhidmatan unit itu terutama dalam menangani kegiatan jenayah di kawasan Felda.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Bakri Sanusi berkata pihaknya telah membeli sembilan ekor lagi anjing jenis German Shepherd pada Disember 2009 bagi tujuan tugasan dan juga untuk pembiakan.

"Atas nasihat dari Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), proses pembelian kali ini dibuat terus di German dengan pembekal Hardyhaus.Com yang merupakan pembekal anjing dari German kepada pihak PDRM," katanya kepada Bernama di sini, pada Isnin.

Katanya anjing tersebut kemudian ditempatkan di Seksyen K9 Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang bagi tujuan latihan dan penyesuaian, sebelum ditugaskan di Zon Mempaga dan Zon Trolak Jaya.

Katanya Felda Security Services menubuhkan unit K9 Polis Bantuan Felda pada 2008 dengan memperolehi enam ekor anjing jenis German Shepherd yang dibeli dari China melalui syarikat pembekal Amnaco Sdn Bhd.

"Setelah menjalani latihan dan penyesuaian, keenam-enam ekor anjing tersebut kemudian ditempatkan di Zon Serting, Zon Sabah, Zon Trolak, Zon Mempaga, Zon Jengka dan Zon Johor.

"Kita mendapat kerjasama PDRM bagi menjayakan penubuhan unit K9 Polis Bantuan Felda seperti pemilihan, perolehan, latihan dan juga penugasan," katanya.

Sementara itu, katanya projek pembiakan anjing unit K9 Polis Bantuan Felda diadakan untuk mendapatkan jumlah anjing yang mencukupi untuk memenuhi keperluan.

"Tiga ekor anjing digunakan untuk pembiakan ini iaitu seekor jantan dan dua ekor betina. Semua baka anjing ini diperoleh dari German dan kini unit pembiakan tersebut telah mempunyai sembilan ekor anak anjing.

"Kita mensasarkan dapat menghasilkan antara 150 hingga 200 ekor anjing dalam tempoh lima tahun akan datang. Dengan jumlah ini, ianya akan dapat membuat kawalan dan pemantauan di hampir semua premis kawalan Polis Bantuan Felda di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels