Bernama.com
Am 09 April, 2010 17:12 PM
 
LHDN: Tuntutan Pelepasan Faedah Pinjaman Perumahan Terhad RM10,000


KUALA LUMPUR, 9 April (Bernama) -- Pelepasan faedah pinjaman perumahan yang boleh dituntut dalam pengiraan cukai pendapatan individu adalah terhad kepada RM10,000, kata Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

LHDN, dalam satu kenyataan pada Jumaat ekoran daripada banyak pertanyaan daripada pembayar cukai, berkata jumlah itu adalah bagi setiap tahun asas untuk tiga tafsiran berturut-turut bermula tarikh faedah dibayar.

Pelepasan tersebut juga hanya layak dituntut sekiranya pembayar cukai memenuhi syarat-syarat kelayakan yang telah ditetapkan.

Antaranya, pembayar cukai mestilah pemastautin warganegara Malaysia, pembelian rumah kediaman terhad kepada satu unit, perjanjian jual beli ditandatangani dalam tempoh 10 Mac hingga 31 Disember tahun ini dan rumah kediaman tersebut tidak boleh disewakan.

Sekiranya pembeli berdaftar rumah kediaman tersebut lebih daripada seorang, maka tuntutan pelepasan boleh dilakukan secara bersama dan hanya terhad kepada amaun keseluruhan RM10,000 sahaja.

LHDN turut mengingatkan bahawa mengistiharkan tuntutan pelepasan yang tidak sepatutnya adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikenakan penalti mengikut Akta Cukai Pendapatan 1967.

Pembayar cukai dinasihatkan untuk membuat semakan maklumat berkenaan hal ini melalui laman web LHDN di www.hasil.gov.my atau menghubungi talian Pusat Khidmat Pelanggan di 1-300-88-3010.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels