Bernama.com
Am 01 Oktober, 2009 22:39 PM
 
Suntikan HPV Elak Kanser Pangkal Rahim, Sekolah Perlu Dapat Pengesahan Ibu Bapa


KUALA LUMPUR, 1 Okt (Bernama) -- Kementerian Pelajaran akan mendapatkan pengesahan daripada ibu bapa untuk membenarkan anak-anak mereka diberi pelalian 'human papillomavirus'(HPV) yang bertujuan melindungi mereka daripada kanser pangkal rahim.

Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom berkata ibu bapa akan diberi pilihan sama ada membenarkan anak perempuan mereka diberi suntikan itu atau sebaliknya melalui surat persetujuan daripada sekolah.

"Setakat ini kementerian masih lagi menunggu arahan selanjutnya daripada Kementerian Kesihatan berkaitan pelaksanaan suntikan itu yang dikatakan akan bermula tahun depan.

"Jika diarahkan, kementerian bersedia bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan bagi melaksanakannnya. Bagaimanapun, ibu bapa perlu menandatangani surat kebenaran terlebih dahulu untuk menyatakan persetujuan mereka suntukan HPV diberikan kepada anak perempuan mereka," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang Pertandingan Robotik Peringkat Kebangsaan di Pusat Sains Negara di sini , Khamis.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai pada Jumaat lepas bahawa mulai tahun depan, remaja perempuan berusia 13 tahun di seluruh negara akan diberikan pelalian HPV.

Mengenai laporan akhbar semalam bahawa seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun di Britain maut selepas dua hari diberikan suntikan pelalian HPV daripada vaksin keluaran GlaxoSmithKline, yang akan menimbulkan kerisauan ibu bapa di negara ini, Alimuddin berkata pihaknya belum menerima sebarang aduan atau bantahan daripada mana-mana pihak mengenai cadangan Kementerian Kesihatan itu.

"Maklum balas yang kita terima, kebanyakkan Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta ibu bapa bersetuju dengan pelalian itu, kita percaya Kementerian Kesihatan akan mengkaji ubat yang terbaik sebelum melaksanakannya," katanya.

Beliau berkata adalah wajar suntikan pelalian HPV diberikan kepada pelajar perempuan seawal 13 tahun sebagai salah satu kaedah mencegah kanser pangkal rahim pada masa akan datang.

Mengenai pelantikan 10,000 Guru Kanan Disiplin di semua sekolah kebangsaan dan menengah tidak lama lagi, Alimuddin berkata pelantikan itu bukanlah bermakna masalah disiplin murid dan pelajar kita semakin teruk tetapi sekadar untuk membantu menangani masalah itu daripada berterusan.

"Memang kita sudah ada guru kaunselor di sekolah dan ada di antara mereka yang bertindak sebagai guru disiplin bagi menangani masalah kekurangan guru di sesebuah sekolah, tetapi kita perlu ingat jumlah pelajar akan bertambah setiap tahun jadi pelantikan ini amat membantu," katanya.

SJK (C) Yuk Chai, Selangor telah memenangi kategori sekolah rendah pertandingan robotik, sementara Sekolah Menengah Sains Sabah bagi kategori sekolah menengah rendah, Sekolah Menengah Kebangsaan Mantin, Negeri Sembilan bagi sekolah menengah.

Untuk kategori terbuka sekolah rendah dimenangi oleh SJK (C) Jalan Davidson dan bagi sekolah menengah rendah ialah SMK St Francis, Melaka.

Kesemua pemenang itu menerima trofi, sijil penyertaan, kit pembelajaran serta tajaan sepenuhnya ke pertandingan 'World Robot Olypiad (WRO) 2009' di Pohang, Korea Selatan pada 6 hingga 8 Nov depan.

-- BERNAMA


Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels