Bernama.com
Am 12 Jun, 2008 17:45 PM
 
Permohohan Pinjaman PTPTN Secara Online


KUALA LUMPUR, 12 Jun (Bernama) -- Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) kini melaksanakan kaedah permohonan pinjaman secara online bagi menggantikan penggunaan Borang OMR untuk kemasukan pelajar semester satu 2008/2009.

Menurut PTPTN, borang pinjaman dalam talian itu boleh dibuat melalui laman web http://epinjaman.ptptn.gov.my atau http://202.184.125.150.

Melalui kaedah ini, permohonan pinjaman boleh dibuat sepanjang tahun dan para pelajar dikehendaki mendapatkan nombor PIN di semua cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan harga RM5.00 dan tempoh sah laku nombor PIN ialah enam bulan daripada tarikh permohonan kali pertama.

Menurut kenyataan PTPTN, ia akan memproses permohonan sebanyak dua kali bagi setiap semester berdasarkan kepada persetujuan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan Swasta (IPTS) berkenaan.

Permohonan untuk pelajar IPTA dan Politeknik akan dibuka mulai 13 Jun 2008 dan proses kelulusan kali pertama akan dibuat pada 23 Jun.

Para pelajar boleh menyemak keputusan permohonan mereka melalui laman web PTPTN dan mencetak dokumen tawaran pinjaman mulai 25 Jun 2008.

Bagi pelajar IPTS, kaedah online itu akan dibuka mulai 1 Ogos 2008 dan sebelum tarikh itu mereka boleh memohon pinjaman menggunakan kaedah sedia ada pada tarikh yang telah ditetapkan.

"Para pelajar dikehendaki melengkapkan dua set dokumen termasuk dua keping setem hasil bernilai RM10 dan diserahkan di kaunter PTPTN di semua IPTA/IPTS pada tarikh yang ditentukan HEP," kata kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai keedah iti boleh diperolehi menerusi talian 03-2092 7788 atau melayari webmaster@ptptn.gov.my.

-- BERNAMA
Copyright 2014 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior written permission of BERNAMA.
Disclaimer.
Best viewed in Internet Explorer 4.0 & above with 800 x 600 pixels