| Lima Jawatan Pengarah PDRM Kini Kosong |
|
KUALA LUMPUR, 3 Jan (Bernama) -- Satu rombakan dijangka berlaku dalam Polis Diraja Malaysia kerana lima jawatan kanan bertaraf pengarah kini kosong berikutan persaraan penyandang masing-masing.
Jawatan-jawatan itu ialah Pengarah Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Pengarah Pengurusan, Pengarah Logistik dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK).
Jawatan pengarah KDNKA kosong berikutan persaraan Datuk Mustafa Abdullah pada 28 Disember lepas. Jawatan itu kini dipangku oleh Timbalan Pengarah II KDNKA Datuk Jamaluddin Khalid.
Jawatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah yang dipegang Datuk Christopher Wan Soo Kee kini dipangku oleh timbalannya Datuk Acryl Sani Abdullah Sani. Wan kini bercuti sebelum bersara pada 8 Januari setelah berkhidmat selama 38 tahun.
Ekoran pelantikan Datuk Ismail Omar sebagai Timbalan Ketua Polis Negara pada 13 November tahun lepas, jawatan Pengarah Pengurusan yang disandangnya sejak 1 Julai tahun lepas, belum diisi.
Jawatan Pengarah Logistik pula paling lama kosong sejak persaraan Datuk Zainal Tahir pada 16 Oktober tahun lepas. Jawatan itu kini dipangku oleh Timbalan Pengarah 1 Jabatan Logistik Datuk Mashuri Zainal.
Kekosongan jawatan Pengarah JSJK berlaku sejak November tahun lepas apabila pengarahnya Datuk Ramli Yusuff digantung tugas setelah didakwa di mahkamah Kuala Lumpur dan di Sabah berhubung kes penyalahgunaan kuasa. Beliau dijadual bersara bulan depan.
Sumber Bukit Aman berkata ada kemungkinan pengisian semua jawatan itu tidak dilakukan secara serentak dan ianya hanya boleh diputuskan oleh Suruhanjaya Polis Diraja Malaysia yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi selaku Menteri Keselamatan Dalam Negeri.
Kali terakhir PDRM membuat rombakan ialah pada Julai tahun lepas yang melibatkan 17 pegawai kanan.
-- BERNAMA
|
|
|