English Version

Utara Selatan Timur Tengah Sabah & Sarawak
| Kembali ke Bernama.com | Pelan Laman | Meja Bantuan | E-mel Kami |
Menu Utama
Laman Utama
Arkib Berita
Rencana
Galeri Foto
Pautan
Lain-lain Pautan
Jabatan Ukur dan Pemetaan Pulau Pinang
Majlis Bandaraya Ipoh

Berita Utara

January 19, 2009 20:16 PM

Pokok Gaharu Tanaman Lumayan Bagi Pekebun Kecil

GOPENG, 19 Jan (Bernama) -- Pekebun kecil kelapa sawit dan getah bakal memperoleh sumber pendapatan alternatif yang lumayan jika kajian mendapati pokok gaharu sesuai ditanam sebagai tanaman sampingan di kebun kepala sawit dan getah.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Senator A. Kohilan Pillay berkata kajian mengenai kesesuaian penanaman pokok gaharu itu sedang dijalankan oleh beberapa agensi termasuk Lembaga Getah Malaysia.

"Kita perlu membuat kajian terperinci bagaimana pokok gaharu ini boleh ditanam di kawasan kebun getah dan sawit di seluruh negara supaya pekebun kecil tidak terlalu bergantung dengan satu tanaman sahaja...jika ini boleh dilaksana kita sangat yakin jumlah pendapatan golongan pekebun kecil akan meningkat dengan mendadak dan tidak terjejas sekiranya harga getah dan sawit merudum," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melawat ladang gaharu yang diusahakan syarikat Gaharu Technologies Sdn Bhd di kawasan seluas 113 hektar di sini, Isnin.

Kohilan berkata pokok gaharu mempunyai nilai yang tinggi dan berdasarkan pasaran semasa, sebanyak 400 pokok boleh ditanam di kawasan seluas 0.4 hektar dan boleh menghasilkan pendapatan sebanyak RM1.8 juta.

"Tanaman pokok gaharu yang sudah mencapai usia tujuh hingga sepuluh tahun mempunyai nilai antara RM5,000 hingga RM20,000 sepokok kerana semua bahagian pokok itu boleh diguna untuk pelbagai produk," katanya.

Beliau berkata kementerian telah meminta semua agensi berkaitan supaya membuat kajian bagaimana usaha itu boleh dilaksana dengan meluas oleh pekebun.

Antara kegunaan pokok gaharu adalah bagi menghasilkan produk minyak wangi, ubat-ubatan, teh hijau dan kosmetik yang mempunyai pasaran meluas di seluruh dunia, katanya.

Beliau berkata pokok gaharu sebelum ini diperoleh daripada kawasan hutan dan penanaman secara komersial akan dapat mengurangkan pencerobohan oleh pencari kayu gaharu.

Mengenai ladang berkenaan, beliau berkata ia merupakan ladang gaharu berskala besar pertama di negara ini dan produk yang dihasilkan mendapat permintaan tinggi. Antara pelanggannya adalah syarikat minyak wangi terkemuka Asia Barat iaitu Ajmal.

-- BERNAMA

 

Copyright © 2010 BERNAMA. All rights reserved.
This material may not be published, broadcast, rewritten or redistributed in any form except with the prior express permission of BERNAMA. Disclaimer.